Baru sahaja pulang daripada Amerika Syarikat, Safee Sali yang menjaringkan gol di bumi Uncle Sam itu kini diumumkan menyertai kelab bola sepak amatur, Kelana United bagi menghadapi Liga Perdana Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan pihak kelab melalui pelbagai media sosial mereka dan menerima reaksi yang berbagai-bagai daripada media serta peminat bola sepak tempatan.
Bekas penyerang kebangsaan itu telah melakukan penampilan sulungnya menentang Tanjung Karang sekaligus menjadi legenda bola sepak kebangsaan yang seterusnya beraksi buat kelab tersebut.
Sebelum ini, pasukan yang mula diasaskan pada tahun 2019 itu turut mengumumkan beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Shukor Adan, Razman Roslan, Azamuddin Akil dan Fakri Saarani beraksi di bawah kendalian Fairuz Montana.
Untuk rekod, Kelana United kini beraksi dalam saingan Kumpulan B Liga Perdana FAS, divisyen kedua dalam sistem liga bola sepak di Selangor setelah berjaya menjuarai saingan Liga Divisyen 1 FAS musim lalu.
Lebih menarik, mereka juga berjaya mara sehingga ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Selangor (SCL) biarpun bermula di pusingan play-off sebelum tumpas kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Selain itu, mereka turut mempunyai skuad remaja dan wanita mereka yang turut pernah dibarisi pemain wanita kebangsaan sensasi, Intan Sarah Zulgafli bagi saingan Liga Super Wanita (WSL) FAS.
Featured Image: Kelana United FC