Masalah Papua New Guinea: Kami Laju Tapi Bertubuh Kecil
June 19, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad Papua New Guinea yang menghuni ranking ke-159 dunia mempunyai satu kelebihan yang perlu diambil perhatian oleh barisan kejurulatihan dan para pemain Malaysia menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada malam esok di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) iaitu kelajuan.

Perkara itu dikongsikan sendiri oleh kapten merangkap penyerang seniornya, Raymond Gunemba pada sidang media praperlawanan menentang skuad Harimau Malaya di Ar Riyadah, Residence, Kuala Nerus pada hari ini.

Namun begitu, disebalik kelebihan yang dimiliki, pemain berusia 37 tahun terbabit mendedahkan rata-rata pemain skuadnya mememiliki satu kekurangan iaitu mempunyai bentuk fizikal yang kecil.

“Saya rasa kami semua (jenis) pemain yang laju cumanya kami mempunyai satu masalah iaitu (tubuh) bersaiz kecil,” katanya menjawab persoalan yang dilontarkan oleh salah seorang pengamal media, tengah hari tadi.

Untuk pengetahuan semua, Raymond juga merupakan sebahagian daripada skuad Papua New Guinea yang berjaya menumpaskan Malaysia dengan keputusan 2-0 dalam aksi perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung di negaranya sekitar tujuh tahun lalu.

Pada masa yang sama, Raymond yang majoriti kariernya beraksi dalam kancah bola sepak negaranya sendiri melihat skuad Harimau Malaya pada ketika mempamerkan peningkatan berbanding skuad yang dihadapinya lalu.

Dia turut menyifatkan perlawanan ini bakal menjadi satu cabaran yang besar buat pasukannya untuk menghadapinya.

Akan tetapi, disebalik kekurangan serta pujian yang diberkan oleh kaptennya, Malaysia masih perlu berhati-hati memandangkan Papua New Guinea pimpinan Raymond ini masih segar dengan kejayaan mengikat Singapura yang menjadi pilihan untuk memenangi perlawanan itu disamping beraksi di halaman sendiri dengan keputusan 2-2 sekitar tiga hari lalu.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen