Artikel

Program RTG Senaraikan Tze Yong, Tang Jie-Ee Wei & Skuad Hoki Lelaki

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Menteri, Hannah Yeoh telah mengumumkan dua nama baharu daripada sukan badminton untuk menjadi sebahagian daripada program Road To Gold (RTG) iaitu pemain perseorangan lelaki, Ng Tze Yong dan beregu campuran, Chen Tang Jie serta Toh Ee Wei. 

Pengumuman itu hadir menerusi sidang media yang diadakan kementerian berkenaan di Majlis Sukan Negara (MSN) bersama ahli jawatankuasa RTG bagi memaklumkan status semasa program tersebut. 

Untuk makluman, Ng Tze Yong dan Tang Jie-Ee Wei kini berada di landasan terbaik untuk berada dalam kelompok 15 pemain terbaik dunia selepas menduduki kedudukan ke-21 dan ke-17 dunia masing-masing, setakat hari ini. 

Dalam perkembangan yang sama, Lee Zii Jia turut kekal dalam senarai kali ini sehingga perbincangan bersama jurulatih baharu, Wong Tat Meng diadakan manakala beregu campuran, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing kekal sehingga fasa penilaian seterusnya pada September. 

Jawatankuasa RTG turut akan meneliti semula kriteria pemilihan atlet ke dalam program RTG di mana kini atlet yang tersenarai sebagai pemenang pingat Olimpik lepas, senarai Top 10 Ranking Dunia dan Road To Paris 2024 akan dipertimbangkan.

Mereka turut menamakan skuad hoki negara sebagai sebahagian daripada program RTG selepas berjaya menduduki tangga ke-10 dunia serta bertujuan untuk membantu mereka memenangi pingat emas di Sukan Asia Hangzhou bermula 23 September ini. 

Featured Image: Hannah Yeoh (Facebook)

komen