Ranking BWF: Tze Yong Jejak Kelompok 20 Terbaik, Zii Jia Jatuh 2 Anak Tangga
June 20, 2023 Hafizuddin Omar

Ng Tze Yong semakin mengukuhkan lagi kedudukannya selaku perseorangan badminton lelaki No.2 negara apabila menyertai kelompok 20 pemain terbaik dunia buat julung kalinya dalam kariernya.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan pemain berusia 23 tahun tersebut menghuni kedudukan ke-20 dalam Ranking Dunia – meningkat satu anak tangga berbanding pada minggu lalu – setelah melakukan kemaskini pada hari ini.

Tze Yong menghuni ranking berkenaan setelah mengumpul 46,000 mata hasil sumbangan daripada 10 kejohanan yang memberikan mata tertinggi buatnya seperti Terbuka Singapura 2023, Terbuka Thailand 2023, Terbuka Swiss 2023, Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2023, Thailand Masters 2023, Indonesia Masters 2023, Terbuka Malaysia 2023, Cabaran Antarabangsa Bahrain 2022, Terbuka Australia 2022 dan Terbuka Singapura 2022.

Sementara itu, jaguh perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia mengulangi skrip penurunan anak tangga dalam kedudukan Ranking Dunianya sama seperti pada minggu lalu. 

Kemaskini oleh BWF pada hari ini menyaksikan pemain kelahiran Alor Setar, Kedah terbabit mencatatkan kejatuhan dua lagi anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-13 dunia bagi minggu ke-24 tahun 2023.

Sebagai rekod, kedudukan ke-13 tersebut dihuninya buat kali terakhir sekitar 3 tahun dan 3 bulan yang lalu atau lebih tepatnya pada 9 Mac 2020.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen