Artikel

New Zealand Enggan Teruskan Perlawanan Menentang Qatar, Didakwa Bersifat Perkauman

Pasukan bola sepak New Zealand enggan beraksi pada separuh masa kedua menentang Qatar rentetan dakwaan terdapat cercaan bersifat perkauman daripada pemain negara timur tengah itu terhadap pertahanan, Michael Boxall. 

Menurut badan induk bola sepak negara Oceania itu, kejadian tersebut berlaku pada minit ke-40 perlawanan yang berlangsung di Austria itu yang menyaksikan kedua-dua pemain bertegang urat sebelum cercaan tersebut dilontarkan. 

Skuad berjulukan All Whites itu mendakwa cercaan bersifat perkauman itu dapat didengari bukan sahaja Boxall malahan para pemain mereka yang membawa kepada laporan pemain kepada pegawai perlawanan tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

Susulan itu, para pemain New Zealand bersolidariti dengan bertindak untuk tidak beraksi pada separuh masa kedua perlawanan tersebut sekaligus perlawanan terhenti biarpun mereka mendahului dengan keputusan 1-0.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bola sepak New Zealand, Andrew Pragnell mempertahankan tindakan para pemain All Whites dengan menegaskan bahawa terdapat isu yang lebih besar daripada bola sepak yang perlu ditegakkan. 

“Kami menyokong penuh tindakan pemain kami, yang bersetuju secara kolektif tindakan ini. Kami tidak pernah mahu melihat perlawanan terbengkalai tetapi beberapa isu lebih besar daripada bola sepak dan penting untuk membuat pendirian.” 

“Tiada ruang untuk perkauman dalam bola sepak.” tegas Pragnell menerusi kenyataan di laman sesawang badan induk bola sepak negara tersebut. 

Untuk makluman, Micheal Boxall merupakan pertahanan berdarah Samoa yang beraksi di Amerika Syarikat dalam saingan Major Soccer League (MLS) bersama Minnesota United. 

Featured Image: New Zealand Football

komen