Beregu No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi yang menampilkan aksi konsisten sejak beberapa bulan lalu kini semakin menghampiri kelompok 5 beregu lelaki terbaik dunia.
Ini selepas kemaskini terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini yang menyaksikan kedudukan gandingan kebangsaan itu meningkat sebanyak satu anak tangga berbanding minggu lalu.
Ianya sekaligus meletakkan naib juara Terbuka Australia 2022 itu di kedudukan keenam dunia dengan pungutan 71,250 mata, diikuti rapat Hendra Setiawan dan Mohammad Ahsan di tangga ketujuh dunia dengan 71,230 mata – berbeza 20 mata sahaja.
Kedudukan itu juga bermakna Yew Sin-Ee Yi kini semakin hampir untuk memintas kedudukan dunia jaguh beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik sekaligus merebut gelaran beregu lelaki No.1 Malaysia.
Bagaimanapun, gandingan negara itu perlu bekerja keras dalam memastikan mereka kekal konsisten dalam kejohanan yang seterusnya untuk menempatkan diri mereka di dalam kelompok lima terbaik dunia.
Untuk rekod, Yew Sin dan Ee Yi berjaya melangkah sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir daripada lima kejohanan terakhir mereka. Mereka hampir melangkah ke pentas akhir di Terbuka Swiss sebelum ditewaskan wakil India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty
Dalam pada itu, Aaron-Wooi Yik kini turun satu anak tangga ke kedudukan keempat dunia biarpun berjaya mara ke pentas akhir Terbuka Indonesia sebelum terus kempunan untuk merangkul kejuaraan Jelajah Dunia BWF pertama mereka.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia