Wan Arif Wan Junaidi dan Yap Roy King yang bergandingan bermula Mac lalu berhasil mencatatkan peningkatan dalam Ranking Dunia yang memberangsangkan susulan muncul juara dalam Cabaran Antarabangsa Nantes, baru-baru ini.
Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Arif-Roy King merekodkan peningkatan sebanyak 16 anak tangga berbanding kedudukan mereka pada minggu lalu sekaligus meletakkan mereka di tangga ke-85 dunia pada minggu ini.
Pada saat ini, gandingan Arif-Roy King telah mengumpul 15,070 mata hasil daripada beraksi dalam enam kejohanan iaitu Cabaran Antarabangsa Thailand, China Masters, Cabaran Antarabangsa Vietnam, Cabaran Antarabangsa Osaka, Denmark Masters dan Cabaran Antarabangsa Nantes sepanjang tahun ini.
Sementara itu, Beh Chun Meng dan Goh Boon Zhe yang mara ke peringkat suku akhir dalam kejohanan yang sama turut merakamkan sedikit peningkatan iaitu sebanyak lima anak tangga yang membolehkannya menghuni ranking ke-68 dunia, pada minggu ini.
Akhir sekali, gandingan beregu lelaki No.3 tanah air, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun pula terjatuh satu anak tangga berbanding pada minggu lalu dan kini berada di tangga ke-22 dunia.
Featured Image: Instagram Wan Arif Junaidi