Negeri Sembilan telah mengambil keputusan untuk tidak mendapatkan mana-mana pemain baharu pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia biarpun telah melepaskan penyerang import, Vinicius Leonel.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan kelab tersebut di laman sesawang mereka dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial pasukan.
Keputusan tersebut diambil selepas satu mesyuarat pengurusan yang diadakan bersama Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman selaku presiden kelab bertujuan untuk memberi peluang kepada bakat-bakat baharu skuad bawah 23 tahun (B-23) yang beraksi di Piala MFL.
Kenyataan Media
Perkembangan terkini pasukan menjelang jendela perpindahan kedua.
Pihak pengurusan Negeri Sembilan FC sedia maklum berkenaan prestasi terkini pasukan Liga Super Malaysia 2023 yang kini menduduki tangga ke-9. pic.twitter.com/bgXOASCi5n
— Negeri Sembilan Football Club (@nsfc1923) June 20, 2023
Menurut kenyataan yang sama, pihak kelab juga telah mencapai persetujuan bersama Vinicius Leonel untuk menamatkan kontrak pemain berusia 26 tahun itu lebih awal rentetan prestasi kurang memuaskan ditampilkannya.
Untuk makluman, pemain kelahiran Brazil itu hanya muncul sekali dalam saingan Piala MFL menentang Kelantan II yang menyaksikan penyerang itu beraksi selama 24 minit sahaja.
Ketika ini, Negeri Sembilan berada di tangga kesembilan Liga Super selepas memungut 18 mata. Skuad berjulukan The Jangs itu nampaknya masih tercari-cari rentak cemerlang yang dipamerkan musim lalu selepas penghijrahan pemain utama seperti Syihan Hazmi dan Khuzaimi Piee.
Featured Image: Negeri Sembilan FC