Terbuka Taipei: Aidil Lepasi Pusingan Kelayakan Jelajah Dunia Yang Pertama Tahun 2023
June 20, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton lelaki negara yang menghuni ranking ke-122 dunia, Aidil Sholeh berhasil mara ke babak undian utama iaitu Pusingan 32 di Terbuka Taipei 2023 setelah melepasi peringkat kelayakan kejohanan terbabit, hari ini.

Kemaraan itu hadir setelah pemain berusia 23 tahun ini melakar kemenangan pada Pusingan 1 Peringkat Kelayakan dengan menumpaskan pemain India, Subhankar Dey dengan skor 21-17, 18-21 dan 21-15 dalam tempoh satu jam dan sembilan minit permainan.

Kemudiannya, Aidil berjaya menjelmakan satu lagi kemenangan ketika bertemu pemain Thailand, Korakrit Laotrakul pada Pusingan 2 Peringkat Kelayakan dengan keputusan 16-21, 22-20 dan 21-13 dalam tempoh satu jam permainan.

Sementara itu, kemenangan ini membawa Aidil bertemu pemain Jepun yang menghuni ranking ke-11 dunia, Kenta Nishimoto di Pusingan 32 yang dijadualkan berlangsung pada hari esok. Berdasarkan rekod, kedua-duanya tidak bertemu setakat ini dan ianya akan menjadi pertarungan sulung melibatkan Aidil dan Kenta di pentas antarabangsa.

Untuk makluman, ini merupakan kemaraan sulung buat Aidil ke babak undian utama dalam saingan Jelajah Dunia BWF yang disertainya sepanjang tahun ini.

Bermula daripada saingan Malaysia Masters, hasrat Aidil untuk melepasi saingan peringkat kelayakan dikekang oleh pemenang pingat emas Sukan SEA 2023, Christian Adinata pada Pusingan 2 biarpun telah mencatatkan kemenangan pada Pusingan 1 dengan menumpaskan Magnus Johannesen dari Denmark.

Dalam saingan Terbuka Thailand pula, Aidil dikecewakan oleh rakan senegara sendiri, Leong Jun Hao yang berjaya menumpaskannya pada Pusingan 3 peringkat kelayakan. Sebelum itu, Aidil berhasil mendapat ‘bye’ di Pusingan 1 dan meraih kemenangan bergaya ke atas pemain India di Pusingan 2.

Featured Image: Badminton Asia

Komen