Kelab dari Perak, Kuala Kangsar BRM (KK BRM) menjadi pasukan pertama yang menarik diri daripada saingan Kejuaraan MBSB Bank 2023 selepas mengharungi sembilan perlawanan liga.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan badan induk pengelola liga, Amateur Football League (AFL) dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial mereka.
Pengerusinya, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi mengesahkan penarikan diri pasukan berpangkalan di Kuala Kangsar itu selepas menerima surat makluman penarikan diri daripada saingan liga tersebut.
Tambah Yusoff, pihaknya telah berusaha untuk membantu KK BRM untuk menangani segala isu yang timbul tetapi keputusan telah dibuat oleh pihak pengurusan kelab.
“Kita telah berusaha untuk berbincang dan cuba membantu KK BRM FC dalam menangani masalah yang dihadapi namun pihak pengurusan kelab telah nekad dengan keputusan mereka.”
“AFL menerima dan menghormati keputusan tersebut dengan berat hati dan susulan penarikan diri KK BRM FC, semua perlawanannya dibatalkan serta dianggap tidak sah termasuklah semua mata dan gol yang telah dimainkan sebelum penarikan diri secara rasmi KK BRM FC,” ujar Yusoff dalam kenyataan yang sama.
Penarikan diri KK BRM ini dikhabarkan berlaku akibat masalah kewangan yang dialami pasukan rentetan kegagalan pihak penaja melunaskan janji seperti mana yang dipersetujui.
Musim lalu, satu lagi kelab dari Perak iaitu Respect FC juga telah menarik diri daripada saingan Liga M3 kelolaan AFL. Keputusan yang diambil KK BRM itu turut bermakna satu-satunya kelab dari Perak yang masih beraksi dalam saingan tersebut ialah Manjung City FC.
Featured Image: Amateur Football League (AFL)