Terbuka Taipei: Yew Sin-Ee Yi Mara Ke Pusingan 16 Bertemu Azriyn-Wee Kiong
June 20, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gandingan lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi mara ke pusingan seterusnya selepas menewaskan wakil Chinese Taipei, Chiu Hsiang-Chieh dan Yang Ming-Tse dalam Pusingan 32 Terbuka Taipei, sebentar tadi. 

Bertemu buat kali pertama, beregu negara yang dilihat sebagai pilihan tewas pada set pertama dengan skor 15-21 kepada pasangan yang berada di tangga ke-49 dunia. 

Namun, Yew Sin-Ee Yi bangkit pada set kedua dengan skor 21-12 sebelum mengesahkan kemenangan menerusi set ketiga berkeputusan 21-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 42 minit di Arena Tian-Mu.

Kemenangan itu sekaligus mengekalkan rekod bersih pasangan lelaki negara tersebut untuk sekurang-kurangnya mara ke Pusingan 16 di dalam semua kejohanan disertai mereka pada tahun ini.

Kemenangan tersebut juga bakal menemukan dua beregu kebangsaan di Pusingan 16 setelah satu lagi wakil negara, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn dan Tan Wee Kiong berjaya lolos hasil kemenangan ke atas wakil Republik Korea. 

Pasangan yang kali pertama digandingkan, Azriyn-Wee Kiong menang ke atas Kim Young Hyuk dan Wang Chan dalam pertarungan tiga set yang berakhir dengan keputusan 21-17, 18-21 dan 23-21 berpihak kepada gandingan Malaysia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen