Pemenang Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo menjadi pemain bola sepak pertama membuat 200 penampilan antarabangsa bersama skuad kebangsaan. Pemain berusia 38 tahun ini menempa rekod tersebut ketika mewakili negara, Portugal menentang Iceland dalam saingan kelayakan EURO 2024, awal pagi tadi waktu Malaysia.
Sebelum sepak mula perlawanan berkenaan, pihak Guinness World Record (GWR) turut hadir menyampaikan sijil pengiktirafan selaku pemegang rekod Penampilan Antarabangsa Terbanyak Untuk Bola Sepak Oleh Individu (Lelaki) Adalah 200, Dicapai Oleh Cristiano Ronaldo (Portugal) Antara 20 Ogos 2003 dan 20 Jun 2023.
Perlawanan yang berlangsung di Laugardalsvollur itu bertambah istimewa buat Cristiano apabila dia turut muncul sebagai penjaring tunggal yang dihasilkan pada minit ke-89 sekaligus membantu skuad berjulukan Selecao melakar kemenangan 1-0.
Untuk makluman, Cristiano yang kini beraksi bersama Al Nassr dalam kancah bola sepak Arab Saudi terlebih dahulu muncul sebagai pemain dengan penampilan antarabangsa terbanyak sepanjang zaman apabila merekodkan penampilan ke-197 ketika turun menentang Liechtenstein pada 23 Mac lalu – mengatasi rekod 196 penampilan oleh Bader Al-Mutawa bersama Kuwait.
Featured Image: UEFA