Pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon mahu para peminat menjadi lebih realistik dalam menilai kemampuan dan taraf semasa skuad kebangsaan menjelang aksi di Piala Asia yang akan berlangsung pada Januari nanti.
Tambah Pan-gon, semua pihak harus bersedia menerima segala kemungkinan yang bakal berlaku di kejohanan tersebut tetapi mahu para peminat raikan peluang beraksi di pentas tertinggi Asia ibarat festival.
“Kami sentiasa mahu mara lebih jauh, ini sasaran kami tetapi kita kena tahu di manakah taraf kita. Kita harus menikmati kejayaan ini kerana satu hari nanti, mungkin kita akan berasa sedih apabila kita tewas atau tidak pamerkan aksi yang memberangsangkan.”
“Apa yang saya mahu katakan ialah Piala Asia bukanlah pentas yang mudah. Bahkan ada pasukan yang akan jadi lebih bagus berbanding kita. Semua orang kena bersedia dan bersatu hati dalam menyokong pasukan.”
“Jadikan (Piala Asia) festival.” ujar Pan-gon dalam sesi sidang media selepas perlawanan menentang Papua New Guinea.
Keputusan Masa Penuh
Perlawanan Antarabangsa Tier 1 | Selasa, 20 Jun 2023
MALAYSIA 🇲🇾 10-0 🇵🇬 PAPUA NEW GUINEA
⚽️ Safawi Rasid 45'+4 (P) Paulo Josue 52' 64' 70' Arif Aiman Hanapi 57' 60' 87' 89' Faisal Halim 59' Daniel Ting 76'#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/TaVvxlcP0o
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 20, 2023
Pengendali berusia 54 tahun itu juga tidak mahu para penyokong terlalu terbuai-buai dengan kejayaan semasa negara yang kini semakin meningkat naik yang baginya bukanlah satu petanda yang bagus untuk skuad kebangsaan.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) itu, Malaysia terpaksa menunggu lama untuk menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti Safawi Rasid.
Bersambung babak kedua, Harimau Malaya terus menambah jaringan menerusi empat gol Arif Aiman, hatrik Paulo Josue dan jaringan tunggal daripada Faisal Halim serta Daniel Ting sekaligus membelasah Papua New Guinea 10 gol tanpa balas.
Untuk makluman, hasil meraih dua kemenangan ke atas Solomon Island dan Papua New Guinea dalam Perlawanan Antarabangsa Tier 1 telah memberikan Harimau Malaya 9.45 mata dan dijangka akan merekodkan kenaikan dua anak tangga ke tangga 136 dunia pada kemaskini Ranking Duni oleh FIFA pada Julai nanti.
Featured Image: Football Association of Malaysia