Artikel

Pemenang Piala Dunia Ikut Jejak Benzema Sertai Al Ittihad Selama 3 Tahun

Dua minggu lalu, Karim Benzema selaku salah seorang penyerang prolifik di kancah bola sepak eropah meninggalkan kelab yang diwakilinya selama 14 tahun iaitu Real Madrid bagi berhijrah ke Arab Saudi menyertai Al Ittihad.

Kini, pemain tengah Chelsea yang memenangi Piala Dunia 2018, N’golo Kante mengikuti jejak langkah Benzema apabila diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial milik kelab berkenaan menjadi pemain baharu Al Ittihad yang beraksi dalam kancah Liga Pro Saudi (SPL).

Menerusi makluman kelab berjulukan Al Numoor terbabit, Kante yang kini berusia 32 tahun diberikan kontrak selama tiga tahun – sama seperti Benzema – tanpa didedahkan kepada umum sebarang amaun gaji yang akan diterimanya sepanjang tempoh terbabit.

Untuk makluman, Al Ittihad berjaya mendapatkan khidmat Kante secara percuma tanpa sebarang bayaran kepada Chelsea memandangkan kontraknya bersama skuad The Blues akan tamat pada 30 Jun nanti.

Peminat Kante pastinya ternanti-nantikan persembahan Kante bersama kelab baharunya itu lebih-lebih lagi penglibatan Kante bersama Chelsea pada musim 2022-23 dilihat begitu terhad ekoran mengalami kecederaan hamstring semasa turun menentang Tottenham Hotspur pada Ogos tahun lalu.

Kecederaan itu memaksanya untuk menjalani pembedahan pada bulan Oktober berikutnya dan terpaksa melupakan aksi bola sepak selama lima bulan sekaligus terlepas peluang untuk mewakili Perancis beraksi di pentas Piala Dunia 2022 Qatar sekitar November-Disember lalu.

Sebagai rekod, Kante telah menyarung jersi The Blues selama tujuh musim. Sepanjang tempoh itu, pemain kelahiran Paris berdarah Mali ini telah membantu Chelsea menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA, Liga Europa, Liga Juara-Juara, Supercup dan Piala Dunia Kelab FIFA.

Featured Image: Al Ittihad

komen