Bagai buka buku baharu, Kelantan FC mengumumkan kehadiran Angel Alfredo Vera selaku pengendali skuad berjulukan The Red Warriors itu bagi menggantikan jurulatih sedia ada, Frank Bernhardt.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang disiarkan melalui pelbagai media sosial pasukan itu dan menimbulkan reaksi yang pelbagai daripada peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong Kelantan sendiri.
Vera bukanlah nama yang asing dengan saingan bola sepak di rantau asia tenggara selepas menamatkan kariernya selaku pemain di Indonesia dan kekal di negara tersebut bagi meneruskan karier bola sepaknya sebagai jurulatih.
Selaku jurulatih, pengendali berusia 51 tahun itu telah membimbing sembilan kelab Indonesia dalam tempoh 10 tahun. Kejayaan terbesarnya adalah pada tahun 2017 apabila berjaya membawa Persebaya Surabaya menjuarai Liga 2 Indonesia.
Namun, tugas sukar menanti Alfredo di Kelantan dalam usaha untuk keluar dari tangga terbawah liga pada pusingan kedua Liga Super Malaysia selepas The Red Warriors sekadar memungut empat mata setakat ini.
Sebelum ini, Frank Bernhardt yang menggantikan Choi Moon-sik tidak dapat mengubah nasib Kelantan selepas tewas dalam keenam-enam perlawanan Liga Super ketika bertemu Selangor, Sabah, Perak, Kedah Darul Aman, PDRM dan Kelantan United.
Dengan perlantikan Vera selaku pengendali baharu The Red Warriors, status Bernhardt bersama kelab pantai timur itu masih lagi samar-samar sama ada masih bersama pasukan selaku Pengarah Teknikal atau tidak.
Dalam perkembangan yang sama, Kelantan FC turut melantik Gonzalez Gidi selaku jurulatih kecergasan baharu pasukan bagi membantu Vera.
Featured Image: Kelantan FC