Artikel

Negeri Sembilan Buka Pintu Rundingan Jual Beli Saham Kelab

Juara Liga Premier 2021, Negeri Sembilan FC kini membuka pintu kepada mana-mana individu mahupun entiti-entiti yang berminat untuk memperkukuhkan kestabilan skuad berjulukan Hobin Jang Hobin dalam kancah Liga Malaysia.

Ini termasuk sebarang rundingan kerjasama, pelaburan secara jangka masa panjang dan rundingan jual beli saham melibatkan kepentingan kelab yang berpangkalan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi terbabit.

Pintu ini dibuka setelah Ahli Lembaga Pengarah bagi syarikat yang memiliki Negeri Sembilan FC iaitu Negeri Sembilan Football Club Sdn. Bhd. bersedia memulakan proses rundingan dan penerokaan kerjasama bagi perkara tersebut.

Pada masa yang sama, Ahli Lembaga Pengarah menekankan sebarang keputusan mengenai rundingan kerjasama dan pelaburan itu akan menitikberatkan kepentingan pasukan, peminat, pelabur dan rakyat bagi Negeri Sembilan.

Untuk makluman semua, pada saat ini, Negeri Sembilan mempunyai tiga skuad dibawah kendaliannya iaitu skuad Liga Super, skuad Piala MFL (bawah 23 tahun) dan skuad Piala Presiden (bawah 20 tahun).

Sebagai rekod, sejak Malaysian Football League (MFL) menetapkan kelab–kelab yang bertanding dalam kancah bola sepak tanah air perlu menjalani proses penswastaan, sebanyak dua pasukan iaitu Kelantan FC dan Perak FC telah beralih pemilikan daripada persatuan bola sepak negeri kepada ahli perniagaan dan entiti perniagaan masing-masing.

Sementara itu, kelab yang berpangkalan di ibu kota, Kuala Lumpur City FC (KL City) pula dijual pegangan sahamnya sebanyak 51% kepada entiti perniagaan, Rinani Group.

komen