Piala Asia B-17: Malaysia Tamatkan Kempen Di Tempat Ketiga Kumpulan
June 22, 2023 Meor Mohamad Amirul

Skuad bawah 17 tahun (B-17) kebangsaan menamatkan aksi di bumi Thailand dengan menundukkan Laos pada perlawanan terakhir Kumpulan A sekaligus mengutip tiga mata pertama buat negara dalam kejohanan kali ini. 

Biarpun mendahului seawal minit ke-12 permainan, Laos tidak dapat menghabiskan aksi separuh masa pertama dengan keputusan selesa selepas Dainei Mat Isa menjaringkan gol penyamaan buat Malaysia pada minit ke-43 perlawanan. 

Bersambung babak kedua, Malaysia menggandakan asakan ke arah kubu lawan. Hasilnnya, Dainei muncul wira buat skuad B-17 negara selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 permainan dan perlawanan berakhir dengan keputusan 2-1 memihak kepada pasukan kebangsaan.  

Malangnya, kemenangan tersebut tidak dapat mengubah nasib Malaysia yang kini berakhir di tangga ketiga kumpulan selepas Thailand dan Yaman mara ke peringkat seterusnya selaku juara dan naib juara setelah memungut sembilan dan enam mata masing-masing. 

Mengulas lebih lanjut tentang kemenangan tersebut, Osmera Omaro mengakui permainan para pemainnya menjadi lebih baik selepas kurangnya tekanan diberikan ke atas mereka tidak seperti dua perlawanan sebelumnya. 

Pengendali berusia 43 tahun itu turut menegaskan Malaysia juga tidak dapat beraksi baik rentetan kehilangan beberapa tonggak utama sebelum berangkat ke Bangkok akibat kecederaan.

Sebelum ini, Malaysia tewas dalam dua aksi Kumpulan B menentang Yaman dengan keputusan 4-0 sebelum dibenam Thailand dengan 3-0 yang menyaksikan Malaysia terlepas peluang untuk lolos ke peringkat seterusnya.

Featured Image: Asian Football Confederation

Komen