Dunia internet hari ini dikejutkan dengan berita pemilik Twitter, Elon Musk mahu berentap dengan Mark Zuckerberg dalam satu pertarungan bersangkar (cage match) menerusi ciapannya di Twitter.
Hal ini dipercayai tercetus selepas pemilik Facebook itu mahu membina satu lagi platform media sosial menyerupai Twitter bernama THREADS. Elon membalas ciapan susulan dengan kapsyen bernada sinis, “Saya bersedia untuk perlawanan sangkar jika dia mahu”.
Jutawan berusia 39 tahun itu kemudiannya memberikan respons dengan memuatnaik tangkap layar ciapan tersebut berserta kapsyen, “Hantarkan lokasinya kepada saya”.
Pertarungan antara dua jutawan tersohor dunia itu dijangka bakal berlangsung dalam sebuah gelanggang oktagon di Vegas – dipercayai di UFC Apex yang menjadi salah satu lokasi utama kejohanan seni bela diri campuran terbesar dunia, Ultimate Fighting Championship (UFC).
Untuk makluman, Zuckerberg kini aktif dalam sukan bela diri jiu-jitsu selepas memperoleh pingat emas dan perak dalam sebuah kejohanan di California dan dijangka bakal melakukan penampilan sulungnya di MMA dalam masa terdekat.
Sekiranya pertarungan ini benar-benar berlaku, tumpuan dunia akan beralih kepada aksi kedua-dua jutawan tersebut dan ini mungkin akan memberikan pendedahan yang lebih meluas terhadap sukan bela diri campuran khususnya jiu-jitsu.