Ranking UCI: Azizulhasni Pelumba Keirin No.3 Dunia Selepas Muncul Juara Asia
June 22, 2023 Hafizuddin Omar

Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mencatatkan peningkatan drastik dalam Ranking UCI bagi acara keirin selepas menjuarai perlumbaan di Kejuaraan Basikal Trek Asia 2023 (ACC) baru-baru ini.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Azizul yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman merakamkan loncatan sebanyak tujuh anak tangga sekaligus menghuni tangga ketiga dunia bagi acara berkenaan berbanding tangga kesepuluh pada minggu lalu.

Untuk makluman, kejayaan beliau merangkul emas dalam acara keirin di ACC 2023 baru-baru ini telah menyumbang sebanyak 600 mata sekaligus menjadikan pelumba berusia 35 tahun kelahiran Terengganu itu mengumpul 2,644 mata secara keseluruhan.

View this post on Instagram

A post shared by Azizul | Awang (@azizulhasniawang)

Sementara itu, dalam satu lagi acara berasingan iaitu pecut, Azizul melakarkan peningkatan yang lebih memberangsangkan selepas turut menjuarai perlumbaan acara pecut dalam kejohanan yang sama pada minggu lalu di Velodrom Nasional, Nilai.

Minggu lalu, Azizul berada di tangga ke-19 dunia namun setelah merangkul emas dalam acara pecut yang turut memberikannya 600 mata, beliau berhasil melakar lonjakan sebanyak 13 anak tangga sekaligus meletakkannya di tangga keenam dalam Ranking UCI dengan kutipan 2,289 mata secara keseluruhan.

“Syukur Alhamdulillah, ranking dunia semasa saya telah naik beberapa anak tangga. Seperti gambar yang dikongsikan kepada semua, ranking dunia saya sekarang adalah Keirin – 3, Individual Sprint – 6.

“Sedikit sebanyak ini memberikan suntikan semangat untuk beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow nanti dan juga langkah yang amat positif didalam proses kelayakkan ke Sukan Olimpik Paris 2024. 

“Terima kasih tidak terhingga diatas sokongan dan doa daripada anda semua.” tulis Azizul menerusi pelbagai platform media sosialnya pada hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang merangkul pingat gangsa dalam acara keirin di kejohanan yang sama merekodkan penurunan satu anak tangga berbanding minggu lalu namun masih berada dalam kelompok sepuluh pelumba terbaik dunia iaitu tempat ketujuh.

Komen