Pemenang Piala Azerbaijan Sah Sertai The Rhinos
June 22, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pemain kelahiran Brazil, Ramon Machado de Macedo baru sahaja diumumkan sebagai penyerang import terbaru Sabah FC yang akan mula beraksi setelah didaftarkan pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) nanti. 

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikongsikan melalui pelbagai media sosial kelab berjulukan The Rhinos itu sekaligus menggembirakan para penyokong mereka.

Sebelum ini, penyerang berusia 32 tahun itu beraksi bersama Gabala FK di Liga Perdana Azerbaijan dan berjaya menjulang Piala Azerbaijan selepas menewaskan bekas pasukannya, Neftchi di pentas akhir pada 3 Jun yang lalu. 

Bekas pemain akademi Gremio itu banyak menghabiskan kariernya di Brazil tetapi pernah berhijrah di Jerman untuk memulakan karier profesionalnya tetapi pulang ke tanah airnya dua tahun kemudian. 

Selain Ramon, seorang lagi pemain yang telah diumumkan bersama The Rhinos bagi baki saingan Liga Super Malaysia 2023 ialah Miguel Cifuentes yang sah berhijrah daripada Kelantan selepas beraksi baik dengan skuad berjulukan The Red Warriors itu. 

Bagaimanapun, kedua-dua pemain tidak akan beraksi menentang Kelantan United pada 26 Jun (Isnin) kerana pendaftaran pemain untuk jendela perpindahan kedua Liga-M hanya akan dibuka pada 5 Julai (Rabu).

Featured Image: Gabala FK

Komen