Pemain kebangsaan, Paulo Josue mengakui tidak mempunyai sebarang masalah untuk beraksi selaku penyerang biarpun telah menghabiskan masa seluruh kariernya bermain sebagai pemain tengah menyerang.
Tambah Paulo, kehendak dan strategi jurulatih menjadi keutamaan buatnya sama ada untuk terus beraksi sebagai penyerang atau posisi utamanya selagi mana dia diperlukan.
“Saya telah menghabiskan seluruh masa saya beraksi sebagai No.10, pemain tengah menyerang tetapi sekiranya jurulatih (Kim Pan-gon) merasakan saya dapat membantu pasukan dengan bermain sebagai penyerang, saya boleh lakukannya. Tiada masalah.” ujar Paulo ketika ditemui selepas perlawanan menentang Papua New Guinea.
GOOLLL!!!
Paulo Josue 70'⚽️ MALAYSIA 🇲🇾 7-0 🇵🇬 PAPUA NEW GUINEA#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/PHfXPY1WMY
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) June 20, 2023
Mengulas lebih lanjut sekiranya berlaku perubahan posisi di kelabnya, Paulo menegaskan segalanya terpulang kepada jurulatih tetapi dia tidak mempunyai masalah beraksi di posisi tersebut memandangkan pemain berusia 34 tahun itu pernah tampil selaku penyerang dalam aksi liga.
Untuk makluman, kapten Kuala Lumpur City itu telah dinaturalisasikan pada Februari tahun ini dan berjaya menjaringkan empat gol daripada empat kaps antarabangsa yang diperolehnya bersama Malaysia setakat ini.
Ketika bertemu Papua New Guinea yang berada di ranking ke-159 dunia baru-baru ini, Paulo merupakan salah seorang pemain yang membawa pulang bola perlawanan selepas menjaringkan hatrik selain Arif Aiman Hanapi.
Featured Image: Football Association of Malaysia