Terbuka Taipei: Seng Zoe Kejutkan Pemain No.3 Jepun, Lakar Kemaraan Sulung Suku Akhir Super 300
June 22, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton lelaki bebas (independent) negara, Yeoh Seng Zoe yang menghuni ranking ke-139 dunia melakar satu pencapaian terbesar dalam kariernya apabila mara buat julung kalinya ke peringkat suku akhir dalam saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300.

Kemaraan terbabit dilakar selepas berjaya menumbangkan pemain No.3 Jepun yang berada di ranking ke-13 dunia, Kanta Tsuneyama di Pusingan 16 Terbuka Taipei, sebentar tadi.

Seng Zoe yang pertama kali berentap menentang Kanta merangkap pilihan keenam kejohanan dalam pertarungan tersebut berhasil melakar kemenangan bergaya dengan menumpaskannya secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-15 dalam tempoh 44 minit permainan bertempat di Tian-Mu Arena, University of Taipei.

Sementara itu, Seng Zoe yang meloloskan diri ke peringkat suku akhir akan menantikan cabaran perseorangan tuan rumah yang berada di ranking ke-42 dunia, Su Li Yang untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Untuk makluman, Li Yang, berusia 21 tahun mara selepas berhasil menundukkan pemain veteran India, Parupalli Kashyap juga secara “straight set” dengan skor 21-16 dan 21-17 sekitar tengah hari tadi waktu Malaysia.

Berdasarkan rekod pertemuan lalu, Seng Zoe sudah pernah berentap Li Yang sebanyak satu kali sebelum ini di pentas antarabangsa. Pertarungan itu berlangsung ketika kedua-duanya beraksi dalam saingan Antarabangsa Itali pada tahun lalu.

Menariknya, pertarungan itu berakhir dengan Seng Zoe melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berskor 21-19, 10-21 dan 21-17 dalam tempoh satu jam dan 12 minit permainan.

Komen