Terbuka Taipei: Jun Hao Alami Kekalahan Sulung Di Tangan Chico
June 22, 2023 Hafizuddin Omar

Sejak pertemuan pertama pada tahun 2019, Leong Jun Hao belum pernah mengalami kekalahan apabila berentap menentang pemain Indonesia, Chico Aura Dwi Wardoyo di pentas antarabangsa.

Namun begitu, rekod bersih tersebut gagal diteruskan oleh Jun Hao apabila tumpas buat julung kalinya di pemain No. 23 dunia terbabit ketika berentap dalam Pusingan 16 Terbuka Taipei 2023, pada hari ini.

Pertarungan yang berlangsung sengit itu menyaksikan ianya berakhir menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 18-21, 21-14 dan 16-21 dalam tempoh satu jam dan 12 minit di Gelanggang 3, Tian-Mu Arena, University of Taipei.

Kekalahan ini turut mengekang Jun Hao yang berada di ranking ke-57 dunia mengulangi kemaraan ke peringkat suku akhir sepertimana dilakukannya dalam saingan Terbuka Thailand, dua minggu lalu.

Manakala, Chico yang meloloskan diri ke peringkat suku akhir akan turun berentap menentang pemain Jepun merangkap pemain No.11 dunia, Kenta Nishimoto untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir. 

Sebagai rekod, dua pertemuan awal yang dimenenangi oleh Jun Hao adalah ketika beraksi di Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 dan perlawanan akhir acara badminton lelaki berpasukan di temasya Sukan SEA 2023. 

Dalam kedua-dua perlawanan tersebut, Jun Hao mencatatkan kemenangan secara “straight set” dengan skor 21-14 dan 21-15 serta 21-16 dan 21-13 masing-masing.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen