Lebih 125 Permohonan Geran Padanan Sukan Diterima – Hannah
June 23, 2023 Meor Mohamad Amirul

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan bahawa sebanyak RM40 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk disalurkan menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) untuk memastikan industri sukan terus berdaya saing.

Tambah Hannah, sudah lebih 125 permohonan GPS diterima dan kementeriannya telah meluluskan kumpulan pertama pemohon berkelayakan setakat ini.

“Kalau tak silap saya, lebih daripada 125 (permohonan diterima). Saya tiada nombornya secara spesifik. First batch (kumpulan pertama yang memohon) telah kami luluskan.” ujar Hannah ketika ditemui para wartawan. 

GPS akan disalurkan kepada para pemohon berkelayakan yang terdiri daripada persatuan sukan, badan bukan kerajaan dan penganjur swasta dengan jumlah maksimum sebanyak RM1 juta akan diberikan dengan kaedah tuntutan bayaran balik (reimbursement).   

Difahamkan GPS akan diberikan kepada pemohon yang dapat menepati salah satu daripada dua faktor utama iaitu dapat menaikkan ranking atlet negara dan membangunkan ekonomi negara. 

Dalam pada itu, Hannah turut menyeru agar lebih banyak sukan diadakan di kawasan tumpuan umum seperti pusat membeli-belah yang dapat menarik lebih ramai pengunjung sekaligus meningkatkan lagi ekonomi negara.

Komen