Sunway Pyramid Ice Anjurkan Siri Kejuaraan Skate Malaysia Edisi Ke-14
June 23, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gelanggang ais pertama di Malaysia, Sunway Pyramid Ice bakal menjadi lokasi Siri Kejuaraan Ice Skating Institute Asia (ISIAsia), Skate Malaysia bagi edisi ke-14 bermula sejak 22 Jun (Khamis) hingga 25 Jun (Ahad). 

Kejohanan kali ini bakal menyaksikan 450 peluncur daripada tujuh negara iaitu Malaysia, Filipina, Thailand, Indonesia, China, Amerika Syarikat dan Kuwait bakal berkumpul di bawah bumbung yang sama – di tengah-tengah pusat membeli-belah Sunway Pyramid.

Majlis pembukaan Siri Kejuaraan Ice Skating Institute Asia (ISIAsia), Skate Malaysia 2023 telah dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sunway Malls & Theme Parks, HC Chan; Presiden ISIAsia, Harry Janto Leo dan Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), Billy Johan.

Dalam majlis perasmian tersebut, HC Chan berkata pihaknya amat berbangga dapat terus menganjurkan kejohanan dan pertandingan bertaraf kebangsaan dan antarabangsa saban tahun di Sunway Pyramid Ice. 

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pula gembira melihat sukan luncur ais dapat diadakan di dalam pusat membeli-belah yang bukan sahaja menarik lebih ramai pengunjung untuk menyaksikan sukan tersebut berlangsung malahan mengundang lebih ramai penaja untuk melabur.  

Seusai tamat majlis pembukaan kejohanan, para tetamu kehormat dan pengunjung turut disajikan dengan pertunjukan khas daripada atlet luncur ais cilik dan dewasa daripada Akademi Luncur Sunway Pyramid Ice serta pemenang pingat emas Trofi Terbuka Thailand 2023, Fang Ze Zeng. 

Fang Ze Zeng yang telah menyertai kejohanan Skate Malaysia sejak 2016 hadir untuk mempertahankan kejuaraannya menentang peserta-peserta baharu yang bakal mengambil bahagian dalam kejohanan tahun ini. 

Sebagai tambahan, Akademi Luncur Sunway Pyramid Ice telah melatih lebih 21,000 pemain luncur ais dalam mencari potensi sebenar mereka dalam sukan musim sejuk itu dalam tempoh 26 tahun. 

Featured Image: Sunway Pyramid Ice

Komen