Chelsea, RC Strasbourg Kini Adik-Beradik
June 23, 2023 Hafizuddin Omar

Chelsea yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) dan RC Strasbourg yang bertanding dalam saingan Ligue 1 di Perancis iaitu Racing Club de Strasbourg (RC Strasbourg) kini secara tidak langsungnya menjadi adik-beradik.

Ini selepas konsortium yang membeli Chelsea pada tahun lalu merangkap syarikat induk, BlueCo pimpinan ahli perniagaan Amerika Syarikat iaitu Todd Boehly menandatangani perjanjian untuk menjadi pemegang saham baharu bagi RC Strasbourg.

Perkembangan itu dimaklumkan sendiri oleh RC Strasbourg menerusi laman sesawangnya dan dikongsikan di pelbagai media sosial milik kelab berkenaan, awal pagi tadi waktu Malaysia.

BlueCo yang bersetuju mengambil alih pegangan saham kelab berjulukan Le Racing komited untuk mengekalkan warisan kelab dan memberikan tumpuan kepada bekerja dengan lebih dekat bersama presiden kelab, Marc Keller dan pihak pengurusannya untuk meneruskan usaha cemerlang yang telah mereka lakukan sebelum ini.

Difahamkan, kehadiran mereka adalah untuk meningkatkan penglibatan mereka dalam kancah bola sepak eropah disamping memiliki Chelsea. Pihak BlueCo percaya ini akan mencipta peluang besar untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran.

Menerusi penglibatannya bersama RC Strasbourg, BlueCo merancang untuk menyumbang secara aktif terhadap model pembangunan yang diimplementasikan oleh Marc Keller. Pertamanya, mereka akan memberikan suntikan modal yang akan membenarkan pelaburan terhadap skuad senior lelaki dan wanita, akademi dan merentasi kelab.

BlueCo turut merancang untuk memberikan RC Strasbourg akses kepada sumber dan kolaborasi yang lebih meluas dengan membolehkan mereka bertukar nasihat dan kepakaran bersama Chelsea dan pasukan lain yang melibatkan pemiliknya.

Dalam makluman yang sama, BlueCo turut bertindak untuk mengekalkan Marc Keller sebagai Presiden Kelab – jawatan yang disandangnya sejak tahun 2012.

Untuk pengetahuan semua, RC Strasbourg menamatkan saingan Ligue 1 musim 2022-23 di tangga ke-15 dengan kutipan mata 40 mata hasil daripada sembilan kemenangan dan 13 keputusan seri.

Sejak dipimpin Marc Keller, RC Strasbourg berhasil mendatangkan dua kejuaraan besar iaitu memenangi saingan Ligue 2 musim 2016-17 dan menjulang Coupe de La Ligue musim 2018-19.

 

Komen