Artikel

‘Messi Jay’ Balik Kampung Setelah 7 Musim Di Perantauan

Pemain tengah skuad kebangsaan Thailand, Chanatip Songkrasin atau dikenali sebagai ‘Messi Jay’ dalam kalangan peminat bola sepak di rantau asia tenggara kembali ke negara kelahirannya selepas tujuh musim beraksi di Jepun.

Ini selepas kelab yang beraksi dalam kancah Liga Thai 1, BG Pathum United mencapai persetujuan dengan pemain berusia 29  tahun ini untuk menggunakan khidmatnya bagi mengharungi saingan musim 2023-24 kelak.

Kelab berjulukan The Rabbits itu mengumumkan penyertaan Chanatip menerusi laman sesawang rasminya serta dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, dua hari lalu.

Menurut ejennya, FPS Management Consulting, Chanatip mahu pulang ke Thailand atas kemahuannya sendiri biarpun kelabnya di Jepun, Kawasaki Frontale mahu mengekalkan khidmatnya.

Sebagai rekod, Chanatip mula berhijrah ke Jepun sekitar pertengahan tahun 2017 dengan menyertai kelab pendatang baharu Liga J1, Consadole Hokkaido secara pinjaman daripada Muangthong United. Setahun kemudian, Chanatip berpindah secara kekal bersama Consadole Hokkaido sehingga tahun 2021.

Pada tahun 2018, Chanatip memainkan peranan penting dalam membantu Consadole Hokkaido menghuni tangga keempat dalam saingan Liga J1 – tertinggi dalam sejarah kelab – serta muncul pemain asia tenggara pertama yang tersenarai J.League Best XI pada musim 2018.

Pada awal musim 2022, khidmat Chanatip dipancing oleh juara Liga J1 2021, Kawasaki Frontale.

Secara keseluruhan, Chanatip tampil sebanyak 133 kali, menjaringkan 14 gol dan mencipta 23 “assist” sepanjang enam tahun beraksi dalam pelbagai pertandingan di bumi negara matahari terbit.

Featured Image: J.League

komen