Penyerang sensasi Vietnam, Nguyen Quang Hai kembali ke tanah air dan sah menyertai pasukan baharunya, Hanoi Police FC bagi menempuh baki saingan Liga Vietnam 2023 yang bakal memasuki pusingan kejuaraan.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikongsikan melalui media sosial pasukan sekaligus menerima reaksi yang pelbagai daripada peminat bola sepak Vietnam dan juga rantau asia tenggara.
Ketika ini, Hanoi Police menduduki tangga kedua liga selepas mengutip 21 mata pada ketika liga masih berbaki dua perlawanan dan sah beraksi di pusingan kejuaraan.
Sebelum ini, penyerang berusia 26 tahun itu menamatkan kontraknya setahun lebih awal setelah mencapai persetujuan bersama dengan bekas pasukannya yang beraksi di Ligue 2, Pau FC.
Ketika di Perancis, Quang Hai tidak menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan lebih banyak menghabiskan masanya bersama skuad kedua Pau FC yang beraksi di Championnat National 3, liga divisyen kelima negara benua eropah itu.
Di rantau asia tenggara, Quang Hai merupakan salah seorang bakat besar yang pernah dilahirkan Vietnam selepas berjaya membantu negaranya menjuarai Piala AFF 2018 dan juga mara ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2022 bagi zon Asia.
Featured Image: Cong An Ha Noi FC