Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berjaya menjelmakan sebuah lagi gelaran daripada kejuaraan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 selepas menjuarai saingan Terbuka Taipei 2023. Ianya merupakan gelaran kedua dimenangi mereka sejak bergandingan sekitar Disember tahun lalu.
Kejuaraan tersebut menjadi milik gandingan pemain berusia 25 dan 22 masing-masing tersebut sejurus berhasil menumpaskan wakil tuan rumah yang menghuni ranking ke-50 dunia, Chiu Hsiang-chienh dan Lin Xiao-min dalam perlawanan akhir yang berlangsung, hari ini.
Dalam perlawanan tersebut, Tang Jie-Ee Wei yang kini menduduki ranking ke-19 dunia menumpaskan pasangan tersebut dengan mudah yakni secara “straight set” dengan skor 21-12 dan 21-8 dalam tempoh masa setengah jam permainan sahaja.
Dengan kemenangan ini, Tang Jie-Ee Wei bukan sahaja membawa pulang pingat kemenangan bahkan turut mendapat wang tunai bernilai AS$16,590 atau sekitar RM78,000 serta 7,000 mata untuk pengiraan Ranking Dunia, Ranking Jelajah Dunia dan pengiraan mata ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Untuk makluman semua, gelaran Super 300 pertama yang dimenangi Tang Jie-Ee Wei adalah di saingan Orleans Masters yang berlangsung sekitar awal April lalu. Kejuaraan itu menjelma selepas menundukkan gandingan Chinese Taipei, Ye Hong Wei dan Lee Chia Hsin – pasangan yang sama mereka tumpaskan ketika di separuh akhir Terbuka Taipei 2023, semalam.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023