Artikel

Wei Chong-Kai Wun Pertahankan Kejuaraan Terbuka Taipei

Beregu lelaki No.3 tanah air, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun kini bergelar juara Terbuka Taipei sebanyak dua kali berturut-turut.

Pasangan yang menghuni ranking ke-23 dunia ini mengesahkan gelaran berkenaan selepas menumpaskan beregu No.1 tuan rumah, Lu Ching-yao dan Yang Po-han dalam perlawanan akhir yang berlangsung pada petang tadi.

Dalam pertarungan itu, Wei Chong-Kai Wun berhasil menumpaskan pasangan yang berada di tangga ke-15 dunia terbabit menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 20-22, 21-17 dan 21-14 dalam tempoh masa satu jam dan 11 minit.

Kemenangan itu bukan sahaja mempertahankan gelaran juara bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 bahkan turut memberikan mereka ganjaran wang tunai bernilai AS16,590 atau bersamaan sekitar RM78,000 serta pungutan 7,000 mata bagi pengiraan pelbagai ranking oleh BWF.

Untuk makluman, pada tahun lalu, gelaran juara menjadi milik Wei Chong-Kai Wun di kejohanan ini selepas menumpaskan pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020 yang juga merupakan gandingan tuan rumah, Lee Yang dan Wang Chi-lin.

Sebagai tambahan, ini juga merupakan kejuaraan Jelajah Dunia BWF Super 300 yang ketiga dimenangi Wei Chong-Kai Wun termasuk kejuaraan saingan Antarabangsa Syed Modi di India pada Januari 2022.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

komen