Koulibaly Ikut Neves Sertai Liga Arab Saudi Selepas Semusim Bersama Chelsea
June 26, 2023 Hafizuddin Omar

Jodoh pertahanan Senegal, Kalidou Koulibaly bersama Chelsea hanya bertahan selama semusim sahaja biarpun menandatangani kontrak selama empat tahun bermula jendela perpindahan musim panas tahun lalu.

Perkembangan itu hadir setelah sebuah kelab yang berpangkalan di Arab Saudi, Al Hilal mengesahkan mengikat khidmat pemain berusia 32 tahun terbabit pada awal pagi waktu Malaysia.

Sebuah majlis menandatangani kontrak dan memperkenalkan Koulibaly oleh Pengerusi Yayasan Al Hilal, Fahad Bin Saad Bin Nafel kepada umum diadakan di ibu pejabat kelab berkenaan. 

Turut dimaklumkan, Koulibaly yang sebelum ini beraksi selama lapan musim bersama Napoli diikat selama tiga tahun oleh Al Hilal yang menyasikannya kekal sehingga musim 2025-26.

Bersama Al Hilal, Koulibaly akan menyarung jersi bernombor tiga – nombor yang sama disarungnya bersama skuad kebangsaan Senegal termasuk ketika beraksi dalam kancah Piala Dunia 2022 di Qatar.

Untuk makluman semua, Al Hilal mengumumkan mendapatkan khidmat Koulibaly kira-kira dua hari selepas mengikat pemain tengah kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Ruben Neves daripada Wolverhampton Wonderers.

Sepertimana Koulibaly, Neves yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan Portugal turut diberikan kontrak selama tiga tahun bersama kelab berjulukan Al Za’eem ini. Selain itu, Neves yang berusia 26 tahun diberikan jersi bernombor lapan untuk disarungnya bersama Al Hilal.

Featured Image: Al Hilal Saudi Club

Komen