Pelumba Ducati, Bagnaia berjaya mempertahankan kejuaraannya di Motul TT Assen menjadikan kemenangan kelima dikepacinya musim ini selepas muncul juara di GP Portugal, GP Sepanyol, GP Itali dan GP Belanda.
Anak jati Turin itu muncul juara selepas menamatkan perlumbaan di tempat pertama dengan catatan masa 40 minit dan 37.64 saat meninggalkan rakan senegara, Marco Bezzecchi di tempat kedua dan pelumba Sepanyol, Aleix Espargaro di tempat ketiga.
Kemenangan itu menghadiahkan Bagnaia mata keseluruhan kejuaraan sebanyak 34 mata termasuk sembilan mata yang dikutip dalam perlumbaan pecut selepas menduduki tempat kedua.
Ketika ini, Francesco Bagnaia dari Ducati Lenovo Team mendahului kejohanan dengan 194 mata, diikuti pelumba Prima Pramac Racing, Jorge Martin (159) dan Bezzecchi (158) yang mewakili Mooney VR46 Racing Team.
Lebih menarik, ketiga-tiga pelumba tersebut merupakan penunggang jentera keluaran Ducati sekaligus memberi bayangan bahawa dominasi pengeluar Itali itu bakal berterusan untuk tahun yang keempat.
Ducati meneruskan rentak cemerlang musim ini apabila memenangi hampir kesemua perlumbaan MotoGP dan tidak pernah terlepas daripada sebarang kedudukan podium setakat ini.
Namun, ini bukanlah kali pertama Ducati dilihat begitu cemerlang kerana sejak 2020 lagi, Ducati merupakan pengeluar utama yang menguasai MotoGP dengan catatan mata tertinggi untuk tiga musim berturut-turut.
Setakat ini, hanya GP Amerika menjadi satu-satunya kejuaraan yang tidak menampilkan pelumba Ducati selaku juara dengan Alex Rins, wakil Honda yang menjulang trofi di Texas.
Featured Image: MotoGP