Bekas Penjaga Gol Import Sri Pahang Kembali Ke Liga Perancis – Kontrak 3 Musim
June 26, 2023 โ€ข Hafizuddin Omar

Sekitar awal Januari tahun lalu, Sri Pahang FC mengumumkan mendapatkan khidmat penjaga gol import tinggi lampai yang mempunyai pengalaman beraksi dalam kancah Ligue 1 Perancis serta Liga Europa, Mamadou Samassa.

Bagaimanapun, setelah membuat penampilan sebanyak 26 kali dalam pelbagai pertandingan bersama Sri Pahang, jodoh penjaga gol berketinggian 1.98 meter (m) ini bersama skuad berjulukan Tok Gajah menemui titik noktah pada penghujung musim lalu.

Perceraiannya bersama Sri Pahang membuatkannya berstatus ejen bebas (free agant) tanpa sebarang kelab menjangkau selama hampir enam bulan. Namun begitu, status tersebut berakhir apabila khidmat pemain berusia 33 tahun ini kembali diikat oleh sebuah kelab yang beraksi dalam kancah Ligue 2 iaitu Stade Lavallois Mayenne FC.

Penyertaan Samassa bersama Stade Lavallois diumumkan secara rasmi menerusi pelbagai platform media sosial kelab berjulukan Les Tango sekitar empat hari lalu.

Dalam pengumuman terbabit, Samassa yang turut pernah beraksi di Turki dan Greece menjadi pemain baharu ketiga diikat oleh Stade Lavallois dengan kontrak selama tiga tahun sekaligus menyaksikannya kekal sehingga ke penghujung musim 2025-26.

Sebagai tambahan, Stade Lavallois menjadi kelab keenam disertai Samassa dalam karier seniornya selepas EA Guignamp, ESTAC Troyes, Sivasspor, APO Levadiakos dan Sri Pahang.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

Komen