Tomislav Dedah Pemain Enggan Ambil Sepakan Penalti
June 26, 2023 Meor Mohamad Amirul

Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner mendedahkan keeengganan beberapa pemain untuk mengambil tanggungjawab melakukan sepakan pada penentuan sepakan penalti menjadi punca kepada pasukannya terlepas tiket kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA 2023. 

Menjelaskan dengan lebih lanjut, keengganan itu berpunca daripada para pemain tidak mempunyai keberanian untuk berbuat demikian dan jurulatih dari Croatia ini melabelnya sebagai sesuatu yang negatif buat skuad berpangkalan di pantai timur itu.

“Saya sedikit marah kerana beberapa pemain yang masih bertenaga tidak mahu mengambil sepakan penalti. Kebanyakan daripada mereka takut tidak dapat menyempurnakan penalti. Ini bukan perkara yang baik. Siapa sahaja yang nak mensia-siakan penalti? Yakini diri anda.”

“Secara peribadi, saya minta Jordan Mintah ambil (penalti), dia katakan tidak. Saya minta Faiz Nasir, dia kata tidak mahu. Saya minta Hakimi sebab saya tahu kaki kirinya boleh menendang dengan baik, juga tak mahu. Kenapa? Awak (wartawan) ada jawapannya.” kongsi Tomislav dalam sesi sidang media selepas perlawanan, semalam.

Pengendali berusia 57 tahun itu turut menempelak aksi dipamerkan pemain-pemain dimasukkan pada babak kedua yang tidak memberikan impak singnifikan berbanding pasukan lawan. 

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, sebenarnya, Terengganu yang beraksi di hadapan penyokong sendiri beraksi baik dengan melakukan serangan bertali-arus ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) sepanjang permainan.

Namun begitu, anak-anak buah Tomislav menghadapi isu ketajaman di hadapan gawang sekaligus menyaksikan tiada sebarang gol berjaya menembusi gawang KL City biarpun perlawanan berlanjutan sehingga ke masa tambahan. Keadaan itu memaksa penentuan sepakan penalti diadakan bagi menentukan pemenangnya.

Semasa penentuan sepakan penalti, Terengganu dinafikan kemaraan ke perlawanan akhir apabila penjaga gol muda berusia 21 tahun, Azim Al Amin menjadi wira dengan menepis percubaan daripada Liridon Krasniqi dan Nik Sharif Haseefy masing-masing. 

Biarpun penjag gol tuan rumah, Suhaimi Husin berhasil mengekang satu percubaan daripada Matko Zirdum, namun, sepakan cemerlang oleh Giancarlo Gallifuoco pada percubaan kelima yang gagal diselamatkan Suhaimi telah memastikan The City Boys  ke pentas akhir Piala FA buat julung kalinya selepas 24 tahun.

Di perlawanan akhir kelak, KL City bakal bertemu samada Selangor FC atau Johor Darul Ta’zim yang akan berentap di Stadium Sultan Ismail (SSI) pada malam ini.

Featured Image: Terengganu FC

Komen