Kira-kira sekitar 48 jam sebelum sepak mula perlawanan separuh akhir Piala FA, Kuala Lumpur City FC (KL City) memaklumkan satu perkhabaran yang mengejutkan iaitu mengucapkan selamat tinggal kepada penyerang importnya, Herlison Caion.
Ucapan itu menjadikan jodoh pemain kelahiran Brazil berusia 32 tahun terbabit bersama skuad berpangkalan di ibu kota hanya bertahan tidak sampai enam bulan.
Biarpun masuk dengan status ‘mesin gol’ Selangor FC selepas menjaringkan 24 gol dan lapan “assist” sepanjang musim lalu, rekodnya bersama KL City tidak begitu memberangsangkan dengan sekadar meledak satu gol serta mencipta empat “assist” daripada 16 penampilan pada musim ini.
Sementara itu, teka-teki mengenai destinasi Caion yang berikutnya diketahui sekitar sembilan jam berikutnya apabila juara V.League 1 sebanyak enam kali yang juga juara bertahan liga berkenaan iaitu Hanoi FC mengumumkan mengikat khidmatnya secara rasmi.
Caion tidak menunggu lama untuk melakukan debut bersama Hanoi FC bimbingan jurulatih Montenegro, Bozidar Bandovic apabila dia dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika bertemu Sanna Khanh Hoa pada aksi ke-12 liga.
Bagaimanapun, penampilannya sekitar 45 minit itu tidak menyumbang sebarang gol mahupun “assist” kepada pasukan baharunya namun Hanoi FC tetap berhasil mencetak kemenangan dengan keputusan 2-1 dan kini menghuni tangga ketiga liga dibawah Hanoi Police FC dan Dong A Thanh Hoa FC.
Featured Image: Hanoi Football Club