Penyerang Kelantan FC Beralih Angin Sertai Seteru Senegeri, Kelantan United FC
June 26, 2023 Meor Mohamad Amirul

Penyerang kelahiran Nigeria, Ismaheel Akinade sah meninggalkan skuad berjulukan The Red Warriors (TRW) bagi menyertai seteru senegeri, Kelantan United FC. 

Perkembangan tersebut hadir menerusi perkongsian melalui pelbagai media sosial kelab berjulukan Kijang Hijau berkenaan pada petang tadi. Pada masa yang sama, Ismaheel menjadi pemain import keempat yang meninggalkan Kelantan FC selepas Carli De Murga,Christian Rontini dan Miguel Cifuentes.

Sementara itu, penjaga gol berpengalaman dalam kancah Liga Super yang pernah beraksi bersama Terengganu, Sabah, Sarawak, PKNS, PDRM dan Kedah Darul Aman iaitu Shahril Sa’ari turut sama diperkenalkan sebagai pemain baharu Kelantan United pada hari ini. 

View this post on Instagram

A post shared by Kelantan Darul Naim FC (@kelantan_unitedfc)

 

Untuk makluman, Shahril yang kini berusia 33 tahun berstatus ejen bebas (free-agent) dan tidak menyertai mana-mana kelab selama sekitar enam bulan selepas dilepaskan oleh skuad Sang Kenari pada penghujung musim lalu.

Bagaimanapun, kelibat kedua-dua pemain ini bersama skuad Kijang Hijau hanya dapat dilihat bermula aksi menentang Perak FC selepas jendela perpindahan kedua Liga Malaysia dibuka pada 5 Julai nanti. 

Dalam pada itu, Kelantan FC yang kehilangan khidmat Ismaheel, Carli, Cifuentes dan beberapa pemain lain tidak dapat menggantikannya dengan pemain dari luar kelab. Ianya hanya boleh digantikan dengan pemain-pemain daripada skuad pembangunan atau pelapis seperti Kelantan FC U-23, skuad Piala Presiden atau Piala Belia.

Ini berikutan Kelantan FC milik ahli perniagaan dan pelaburan, Norizam Tukiman telah dikenakan sekatan perpindahan. 

Featured Image: Kelantan United FC

Komen