Pengendali Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui pasukannya tidak dapat melakukan persiapan terbaik rentetan ketiadaan pemain utama yang menyertai skuad kebangsaan dan menjadi salah satu faktor kekalahan mereka di peringkat separuh akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tambah Cheng Hoe, mereka tidak boleh adakan perlawanan persahabatan sepertimana JDT menentang Albirex Niigata (S) dalam tempoh jendela antarabangsa FIFA kerana kekangan masa serta susunan jadual pasukan lain di sekitar Lembah Klang.
“Kalau kita lihat dari segi persiapan latihan pasukan, kita tidak dapat menjalani latihan terbaik dari segi intensiti dan tempo permainan kerana 10 pemain sudah bersama skuad kebangsaan. Kita cuma dapat berlatih bersama pemain-pemain bawah 23 tahun (B-23), dari segi intensiti dan tempo agak berlainan.”
FT | 🔵🔴 JDT 4-0 SEL 🔴🟡
Our #PialaFA2023 journey ends here. We go again boys! ❤️💛
Powered by PKNS#MKLK#KitaSelangor pic.twitter.com/n0DH3piQGB
— Selangor FC (@selangorfc) June 26, 2023
“Sebagai jurulatih, saya tidak boleh beri alasan tersebut tetapi kita tahu bukan mudah kita hendak dapat menjalankan perlawanan persahabatan yang kompetitif di Kuala Lumpur kerana banyak pasukan sudah ada jadual tersendiri.” kata Cheng Hoe dalam sidang media selepas perlawanan menentang JDT.
Pengendali berusia 55 tahun itu turut menegaskan mereka perlu bekerja keras untuk menyaingi pasukan sebaik juara bertahan Liga Super itu dan percaya pasukannya mampu memenuhi harapan peminat yang mahu beraksi di pentas asia.
Dalam perlawanan yang berlangsung malam tadi, skuad berjulukan The Red Giants itu tewas empat gol tanpa balas menentang JDT hasil jaringan Fernando Forestieri dan hatrik bintang muda mereka, Arif Aiman Hanapi.
Keputusan itu sekaligus menyaksikan skuad Harimau Selatan bakal bertemu Kuala Lumpur City di pentas akhir yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 21 Julai nanti.
Featured Image: Selangor FC