Beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei yang menjuarai saingan Terbuka Taipei pada Ahad lalu kini tergolong dalam kelompok 15 pasangan terbaik dunia.
Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini menyaksikan pasangan pemain berusia 25 dan 22 tahun masing-masing ini mencatatkan peningkatan empat anak tangga berbanding kedudukan mereka pada minggu lalu.
Lonjakan itu dicetuskan hasil mengumpul 54,888 mata sekaligus meletakkan mereka di tangga ke-15 dalam Ranking Dunia buat pertama kali sejak bergandingan bermula awal Disember tahun lalu.
Untuk makluman, kemenangan mereka ke atas gandingan tuan rumah, Chiu Hsiang Chienh dan Lin Xiao Min dalam perlawanan akhir kejohanan jelajah Dunia BWF Super 300 terbabit telah memberikan mereka 7,000 mata.
Sementara itu, sepasang lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron dan Teoh Mei Xing yang mara ke separuh akhir kejohanan yang sama turut mencatatkan peningkatan yang ketara dalam Ranking Dunia pada minggu ini.
Gandingan pemain berusia 25 dan 26 tahun masing-masing ini melangkau empat anak tangga dan kini menghuni ranking ke-36 dunia hasil mengumpul 31,600 mata setakat ini.
Pada masa yang sama, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai selaku beregu campuran No.1 tanah air masih kekal di tangga ketujuh dunia manakala Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing pula mencatatkan penurunan satu anak tangga dan menduduki ranking ke-18 dunia.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia