Ranking BWF: Lee Zii Jia Jatuh Lagi
June 27, 2023 Meor Mohamad Amirul

Kedudukan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia terus mencatatkan penurunan selama empat minggu berturut-turut sejak 6 Jun lalu.

Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini mengesahkan pemain berusia 25 tahun tersebut jatuh satu anak tangga berbanding pada minggu lalu.

Kejatuhan itu bermakna Zii Jia kini berada di tangga ke-14 dunia dengan kutipan 54,476 mata dan kini semakin hampir untuk terkeluar daripada senarai 15 perseorangan terbaik dunia.

Sebagai tambahan, kedudukan Zii Jia jatuh selepas pemain perseorangan Hong Kong, Ng Ka Long Angus melonjak sebanyak tiga anak tangga sekaligus menghuni kekedudukan ke-13 dunia setelah mara ke separuh akhir Terbuka Taipei, baru-baru ini. 

Kedudukan Zii Jia yang merupakan pemain bebas (independent) dalam Ranking Dunia terdedah untuk terus jatuh pada minggu-minggu mendatang lebih-lebih lagi pemain berusia 25 tahun ini mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada arena badminton antarabangsa.

Dalam perkembangan sama, Tze Yong juga mencatatkan penurunan satu anak tangga dan jatuh ke kedudukan ke-21 dunia. Ini berpunca daripada juara Terbuka Taipei, Chico Aura dari Indonesia yang mencatatkan lonjakan sebanyak lima anak tangga sekaligus menghuni posisi ke-18 dunia.

Manakala, Cheam June Wei yang mara ke suku akhir Terbuka Taipei kini berada di tangga ke-41 dunia selepas naik empat anak tangga.

Aidil Sholeh pula kembali berada dalam kedudukan 100 terbaik dunia selepas naik 24 anak tangga ke kedudukan 98 dunia – kelompok kedudukan yang kali terakhir dihuninya pada Mei lalu.

Featured Image: Badminton Asia 

Komen