Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bersama Persekutuan Bola Sepak Arab Saudi (SAFF) mengesahkan Jeddah – salah satu bandar di negara teluk berkenaan – dipilih sebagai venue perlawanan Piala Dunia Kelab FIFA 2023.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan badan induk bola sepak dunia menerusi laman sesawang rasminya serta dikongsikan di pelbagai media sosial.
Keputusan itu dibuat selepas lawatan delegasi FIFA ke Arab Saudi yang menyaksikan negara tersebut bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia Kelab FIFA buat kali pertama yang akan berlangsung pada 12 hingga 22 Disember nanti.
Presiden SAFF, Yasser Al Misehal gembira FIFA memilih Jeddah selaku tuan rumah memandangkan bandar itu memiliki reputasi yang baik dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa selain daripada memiliki fasiliti yang berkelas dunia.
في ديسمبر الأنظار تتجه إلى جـدة 💚
لمشاهدة أكبر حدث عالمي للأندية 🌍مرحبًا بالعالم في السعودية 🇸🇦#مونديال_الأندية_بالسعودية#Clubwc pic.twitter.com/ObI1D1z46o
— الاتحاد السعودي لكرة القدم (@saudiFF) June 26, 2023
“Kami percaya penganjuran acara antarabangsa seperti Piala Dunia Kelab FIFA memberi peluang untuk membangunkan lagi sukan tersebut dan memberi inspirasi kepada peminat baharu dan sedia ada mengenali budaya negara ini dan minat mendalam kami terhadap bola sepak.”
“Bekerja rapat dengan FIFA, kami bersedia untuk menganjurkan satu kejohanan yang luar biasa dan memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk pemain dan peminat.” ujar Yasser dalam kenyataan yang sama.
Sebanyak tujuh pasukan mewakili konfederasi benua masing-masing termasuk tuan rumah, Al-Ittihad yang merupakan juara Liga Profesional Arab Saudi 2022-23 akan bertanding untuk merebut Piala Dunia Kelab FIFA di Jeddah.
Kelab-kelab yang turut terlibat ialah Manchester City (UEFA), Urawa Red Diamonds (AFC), Al Ahly (CAF), Leon (CONCACAF) dan Auckland City (OFC) manakala wakil CONMEBOL masih lagi belum ditentukan rentetan kejohanan Copa Libertadores masih berlangsung.
Featured Image: Saudi Arabia Football Federation (SAFF)