Tatkala tumpuan majoriti peminat badminton tempatan terhadap sektor beregu lelaki negara terarah kepada Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta gandingan semula Nur Izzuddin-Goh Sze Fei, beregu bebas (independent), Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong ‘diam-diam’ mencatatkan peningkatan demi peningkatan.
Bermula pertengahan Mei lalu, gandingan pemain berusia 26 dan 24 tahun masing-masing ini berhasil mara ke pentas perlawanan akhir dalam keempat-empat kejohanan disertai mereka. Daripada empat kejohanan terbabit, dua daripadanya berakhir dengan merangkul kejuaraan berturut-turut iaitu di Terbuka Slovenia dan Terbuka Austria masing-masing.
Pada Ahad lalu, Hang Yee-Eng Cheong berhasil menamatkan Cabaran Antarabangsa Hangzhou China selaku naib juara. Manakala dua minggu sebelumnya, mereka turut menamatkan Cabaran Antarabangsa Maldives dengan pencapaian yang sama.
Konsistensi mereka mara dalam perlawanan akhir dalam kejohanan-kejohanan terbabit turut memberikan refleksi terhadap kedudukan mereka dalam Ranking Dunia. Kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini memperlihatkan Hang Yee-Eng Cheong mencatatkan peningkatan besar sebanyak 17 anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-70 dunia bermula minggu ini.
Untuk makluman, ini julung kalinya Hang Yee-Eng Cheong kembali ke kedudukan berkenaan selepas bergandingan bersama bermula tahun 2023. Mereka pernah menghuni kedudukan berkenaan – sekitar Mac 2021 – ketika bergandingan bersama antara tahun 2018 hingga 2021.
Sebagai tambahan, Hang Yee-Eng Cheong yang kini mempunyai 18,340 mata berkemungkinan besar untuk terus mencatatkan peningkatan dalam kedudukan Ranking Dunia lebih-lebih lagi mereka akan mengambil bahagian dalam Cabaran Antarabangsa Mongolia pada minggu ini.
Pungutan mata mereka itu hanya berbeza sebanyak 68 dan 180 mata sahaja berbanding beregu yang menghuni ranking ke-69 dan ke-60 dunia dari Algeria dan Jepun masing-masing.
Featured Image: Instagram Ng Eng Cheong