Seorang lelaki di Sepanyol yang bernama Christian Roberto Lopez Rodriguez muncul sebagai Pelari 100 Meter (m) Terpantas Menggunakan Kasut Tumit Tinggi. Rekod tersebut diakui oleh Guinness World Record (GWR) selepas Christian yang berusia 34 tahun menyudahkan lariannya dengan catatan masa 12.82s.
Catatan masa itu sekaligus meleburkan rekod sebelum ini yang dipegang oleh pelari Jerman, Andre Ortolf iaitu 14.02s dilakukan pada tahun 2019.
Menariknya, biarpun dilihat sukar dan mencabar untuk berlari menggunakan kasut sedemikian, menerusi video yang dikongsikan oleh GWR, Christian berjaya menyempurnakan lariannya dengan cemerlang tanpa tunggang-langgang apatah lagi jatuh.
Untuk pengetahuan semua, pelari yang ingin melakukan percubaan bagi rekod ini perlu memakai kasut tumit tinggi jenis stiletto dengan tumit berketinggian sekurang-kurangnya 7 sentimeter (cm) dan lebar tapak tumit tidak melebihi 1.5cm.
Difahamkan, Christian turut melakukan percubaan ini sebagai bukti bahawa penghidap penyakit diabetes tahap 1 sepertinya boleh melakukan banyak perkara atau lebih berbanding individu tanpa diabetes.
Sebagai tambahan, ini bukanlah satu-satunya rekod dunia yang dipegang oleh Christian terutamanya dalam larian 100m. Antara rekod lain dipegangnya adalah Larian 100m Terpantas Tutup Mata (12.45s), Larian 100m Terpantas Menggunakan Terompah (12.58s), Larian 100m Terpantas Mengundur (13.17s) dan banyak lagi yang berjumlah 57 rekod kesemuanya.
Featured Image: GWR