Man Utd Perkenal Jersi ‘Home’ 2023-24, Inspirasi Jambatan Sungai Irwell
June 27, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United menjadi kelab seterusnya memperkenalkan jersi ‘home’ bagi musim 2023-24 yang diinspirasikan daripada jambatan sungai utama di Manchester, Sungai Irwell. 

Pelancaran jersi terbaharu mereka itu telah dibuat menerusi laman sesawang mereka dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial rasmi kelab, sebentar tadi. 

Sekilas pandang, jersi skuad berjulukan The Red Devils ini tiada apa-apa yang istimewa tatkala mereka masih mengekalkan warna tema klasik kelab; merah tetapi jika diperhatikan dengan lebih teliti, rekaan grafik berbentuk mawar akan mula kelihatan. 

Mawar yang menjadi simbol bagi bandar Manchester dijadikan grafik pada jersi kali ini dengan warna merah yang diilhamkan daripada warna jambatan Sungai Irwell mencorakkan jersi pada kali ini. 

Selain itu, warna hitam pada kolar pasukan, bahagian sisi jersi dan jalur Adidas menjadi pelengkap kepada reka bentuk jersi Manchester United kali ini yang dilihat minimal.

Bagi yang ingin mendapatkan jersi terbaharu The Red Devils tersebut, mereka boleh membeli jersi tersebut menerusi platform e-dagang rasmi kelab, United Direct dengan harga £110 (bersamaan ±RM653).

Untuk makluman, jambatan Sungai Irwell merupakan penghubung kepada dua kota; Manchester dan Salford yang sangat signifikan penggunaannya semasa era Revolusi Perindustrian di United Kingdom. 

Featured Image: Manchester United

Komen