Pemain Tengah The Blues Sertai Juara UCL – Kontrak 4 Tahun
June 28, 2023 Meor Mohamad Amirul

Kelab berpangkalan di London, Chelsea mengesahkan pemain tengahnya, Mateo Kovacic berhijrah menyertai kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) merangkap juara Liga Juara-Juara UEFA (UCL) baru-baru ini, Manchester City. 

Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang dikeluarkan laman sesawang rasmi kedua-dua pasukan dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial milik mereka.

Pemain berusia 29 tahun itu hadir menyertai skuad berjulukan The Cityzens dengan kontrak selama empat tahun. Kedatangan Kovacic dilihat sebagai calon yang sekufu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ilkay Gundogan setelah menyertai FC Barcelona. 

Selama beraksi bersama Chelsea, Kovacic yang merupakan pemain skuad kebangsaan Croatia pada mulanya hadir sebagai pemain pinjaman daripada Real Madrid. Kemudiannya, dia menyertai skuad The Blues secara kekal dan membantu mereka memenangi pelbagai kejuaraan besar seperti UCL, Liga Europa, Piala Dunia Kelab FIFA dan Piala Super UEFA. 

Pemain tengah dengan kemampuan untuk beraksi sebagai No.6 mahupun No.8 ini juga merupakan sebahagian daripada generasi emas Croatia yang muncul naib juara Piala Dunia 2018. 

Sebagai tambahan, dalam kancah EPL, Kovacic telah tampil dalam 142 perlawanan, menjaringkan 4 gol dan mencatatkan 13 bantuan gol (assists) serta turut dinobatkan sebagai pemenang Jaringan Terbaik Bulanan bagi bulan Januari 2022. 

Featured Image: Manchester City FC

Komen