Bekas penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun bakal kembali menghangatkan saingan Liga Malaysia 2023 apabila disahkan menyertai skuad kendalian Nafuzi Zain pada jendela perpindahan kedua yang akan dibuka bermula 5 Julai nanti.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang disiarkan melalui pelbagai media sosial Kedah Darul Aman (Kedah) FC, sebentar tadi.
Seperti sedia maklum, reputasi Ifedayo amat digeruni lawan selepas menjaringkan 70 gol Liga Super setakat ini hasil enam musimnya bersama tiga kelab berbeza; Felda United, Melaka United dan Selangor.
Jumlah gol tersebut meletakkan pemegang dwikerakyatan Nigeria-Bahrain itu penjaring kelima terbanyak liga utama Malaysia di belakang Indra Putra Mahyuddin (102), Ashaari Samsuddin (84), Amri Yahyah (79) dan Baddrol Bakhtiar (77).
IFEDAYO OLUSEGUN, PENYERANG BAHARU DIGERUNI SANG KENARI
Tidak asing dengan Liga Malaysia, nama Ifedayo kembali dan kali ini pasukan Sang Kenari menjadi medan terbaik beliau. https://t.co/5j0bwkFFVr pic.twitter.com/XVF0zqj7CJ
— KEDAH DARUL AMAN FC (@kda_fc) June 28, 2023
Dalam pada itu, dia turut memimpin senarai penjaring terbanyak import dalam sejarah Liga Super, diikuti penyerang Johor Darul Ta’zim, Bergson (61) dan penyerang legenda Kedah serta ATM FA, Marlon Alex James (60).
Daripada 70 gol yang dijaringkan, 38 gol dalam dua musim bersama Selangor menyaksikan Ifedayo dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super bagi musim 2020 dan 2021.
Kehadiran pemain berusia 32 tahun itu diharapkan dapat menggantikan kekosongan yang ditinggalkan bekas penjaring terbanyak skuad berjulukan Sang Kenari, Willian Lira yang sah tidak lagi bersama pasukan tersebut.
Sebelum ini, Willian Lira telah dilepaskan Kedah selepas tampil dalam 14 perlawanan dan menjaringkan lapan gol. Walaupun begitu, hala tuju penyerang Brazil itu masih belum diketahui.
Featured Image: Melaka United FC