Penyerang berpengalaman, Teemu Pukki disahkan beraksi dalam saingan Major League Soccer (MLS) dengan menyertai Minnesota United secara percuma setelah kontraknya bersama Norwich City tamat.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman sesawang rasmi kelab dan dikongsikan melalui pelbagai media sosial skuad berjulukan The Loons.
Pukki akan bersama Minnesota United selama dua tahun sehingga Jun 2025 dengan pilihan lanjutan kontrak sehingga Disember 2025. Kehadirannya dilihat sebagai pengganti kepada Luis Amarilla yang berhijrah ke Liga MX bersama Mazatlan.
Welcome to Finnesota 🇫🇮
The club has signed forward Teemu Pukki to a Designated Player contract through June 2025.
📰 >> https://t.co/1jkjScHLtH pic.twitter.com/adsgc3tIfn
— Minnesota United FC (@MNUFC) June 27, 2023
Bersama Norwich City, pemain berusia 33 tahun itu telah menjaringkan 87 gol daripada 198 perlawanan dalam lima musim di Liga Perdana Inggeris dan Liga Kejuaraan EFL.
Penyerang kebangsaan Finland itu akan didaftarkan sebagai “Designated Player” dan merupakan pemain ketiga kelab tersebut yang bakal beraksi dengan jenis kontrak yang sama selain daripada Emanuel Reynoso dan Mender Garcia.
Sebagai tambahan, “Designated Player” merupakan salah satu peraturan dan jenis kontrak yang membolehkan seseorang pemain itu ditandatangani tanpa sebarang had melibatkan gaji siling dan mula diperkenalkan sejak kehadiran David Beckham pada tahun 2007.
Featured Image: Norwich City FC