Pemain tengah Al-Ittihad, N’Golo Kante sah menjadi pemilik baharu salah sebuah kelab divisyen ketiga Belgium, Royal Excelsior Virton bagi menggantikan pemilik sebelumnya, Flavio Becca.
Pengumuman tersebut hadir menerusi kenyataan yang disiarkan melalui pelbagai media sosial milik kelab yang beraksi dalam saingan Eerste National.
Dalam kenyataan yang sama, Becca jelas gembira kerana dapat menyerahkan kelab miliknya itu kepada N’Golo Kanté, seorang insan yang bukan sahaja terkenal dengan kualiti bola sepaknya malahan sifat kemanusiaannya yang diiktiraf umum.
Untuk makluman, Royal Excelsior Virton diambil alih oleh pelabur hartanah dari Luxembourg, Flavio Becca pada 2018 dan berjaya membawa kelab yang berpangkalan di sempadan Luxembourg ke liga divisyen kedua Belgium, Challenger Pro League pada musim 2021-22.
Namun begitu, Royal Excelsior Virton kembali ke kancah Eerste National pada penghujung musim 2023 selepas mengutip 25 mata daripada 32 perlawanan, dibezakan dengan satu mata dengan pasukan di tempat ketujuh, Jong Genk iaitu kelab pembangunan kepada KRC Genk.
Di bawah Becca, kelab yang berpusat di Virton itu keluar daripada sebarang isu kewangan yang menyaksikan transaksi perpindahan hak milik kelab di antara dua individu tersebut menjadi lebih mudah berkuatkuasa 1 Julai ini.
Sebagai tambahan, N’Golo Kante telah memilih untuk berhijrah ke Arab Saudi bagi meneruskan kariernya bersama Al-Ittihad bersama rakan senegaranya, Karim Benzema selepas tujuh tahun bersama The Blues.
Featured Image: Al-Ittihad