Juara Terbuka Austria Mara Ke Separuh Akhir Kali Kelima Berturut-Turut
June 30, 2023 Meor Mohamad Amirul

Gandingan campuran negara, Low Hang Yee dan Ng Eng Cheong menempah tiket ke separuh akhir buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan pasangan Singapura, Nge Joo Jie dan Johann Prajogo di peringkat suku akhir Cabaran Antarabangsa Mongolia. 

Sebelum lolos ke suku akhir, Hang Yee-Eng Cheong tidak mempunyai sebarang masalah untuk mara selepas mendapat “bye” pada pusingan 32 dan menewaskan gandingan Laos, Namboun Luangamath dan Daomixay Vorlasing di pusingan 16.  

Bertemu buat kali pertama, beregu negara hanya memerlukan 29 minit untuk menewaskan wakil Kota Singa secara “straight set” dengan keputusan 21-18 dan 21-12 dalam perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Nasional Mongolia. 

Sebelum ini, Hang Yee-Eng Cheong berjaya mara ke pentas separuh akhir dalam kesemua lima kejohanan terakhir disertai mereka dan muncul juara dalam dua kejohanan iaitu Terbuka Slovenia dan Terbuka Austria.  

Kemenangan itu juga menyaksikan pasangan Malaysia tersebut bakal bertemu pilihan utama kejohanan dari Thailand, Pharanyu Kaosamaang dan Worrapol Thongsa-Nga sekaligus mengulangi aksi akhir Cabaran Antarabangsa Maldives. 

Terdahulu, Hang Yee dan Eng Cheong tewas kepada wakil negara gajah perang itu di Maldives secara “straight set” dengan keputusan 21-19 dan 21-16 yang merencatkan misi kejuaraan ketiga berturut-turut wakil negara. 

Turut layak ke separuh akhir ialah satu lagi pasangan lelaki negara, Chia Weijie dan Liew Xun yang menewaskan pilihan kedua kejohanan, Tanadon Punpanich dan Wachirawit Sothon secara “straight set” dengan skor 21-12 dan 21-16.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen