Dua Beregu Lelaki Malaysia Rebut Kejuaraan Cabaran Antarabangsa Mongolia 2023
July 1, 2023 Hafizuddin Omar

Dua beregu lelaki tanah air, Chia Weijie-Liew Xun dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong bakal menyerikan perlawanan akhir bagi merebut gelaran juara bagi Cabaran Antarabangsa Mongolia 2023.

Kedua-dua slot perlawanan akhir bagi kategori beregu lelaki dibolot oleh beregu Malaysia selepas gandingan Weijie-Xun serta Hang Yee-Ng Cheong berhasil melakar kemenangan ke atas lawan masing-masing di peringkat separuh akhir, hari ini.

Weijie-Xun yang merupakan gandingan naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terlebih dahulu mengesahkan kemaraan setelah menumpaskan pasangan Jepun yang menghuni ranking ke-999 dunia, Shogo Ogawa dan Daisuke Sano secara menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-18, 16-21 dan 21-14 dalam tempoh masa 50 minit.

Untuk makluman, ini merupakan julung kalinya Weijie-Liew Xun melakar kemaraan ke perlawanan akhir sejak bergandingan bersama bermula Disember tahun lalu.

Sementara itu, Hang Yee-Eng Cheong pula menempah tiket ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan pilihan pertama kejohanan dari Thailand, Pharanyu Kaosamaang dan Worrapol Thongsa-Nga secara “straight set” dengan skor 21-19 dan 21-16 dalam tempoh masa setengah jam sahaja.

Kemaraan ini menandakan Hang Yee-Eng Cheong melangkah ke perlawanan akhir buat kali kelima berturut-turut bermula daripada saingan Terbuka Slovenia, Terbuka Austria, Cabaran Antarabangsa Maldives, Cabaran Antarabangsa Hangzhou China dan Cabaran Antarabangsa Mongolia.

Komen