Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kongresnya pada hari ini melakukan pindaan statut yang menyaksikan semua jawatan yang dipertandingkan oleh badan induk bola sepak tanah air itu hanya boleh dipegang mana-mana individu selama tiga penggal sahaja.
Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi semasa bercakap di dalam sidang media selepas kongres mengesahkan perkembangan berkenaan sambil memaklumkan ianya telah diluluskan dan dipersetujui oleh rakan kongsi.
“Dalam pindaan statut ini, semua pemegang jawatan hanya untuk tiga penggal sahaja samada secara berturut-turut atau secara ‘lapse’ tapi hanya untuk tiga penggal sahaja dan tak boleh lebih.” jelasnya.
Selain itu, bagi jawatan presiden pula, setiap calon yang bertanding mestilah memenangi undian secara majoriti.
Sebagai contoh, seandainya jawatan presiden ditandingi oleh tiga orang calon, pemenangnya mestilah mendapat dua per tiga daripada undian secara keseluruhannya. Jika hanya dua calon yang bertanding jawatan tersebut, pemenangnya mestilah memperoleh undian berkonsepkan 50+1.
Pada masa yang sama, Yusoff turut memaklumkan Kongres FAM Kali Ke-59 itu turut meluluskan pindaan yang memperlihatkan perubahan setiap persatuan atau ahli gabungan hanya mendapat satu undian daripada satu perwakilan sahaja berbanding dua undian daripada dua perwakilan sebelum ini dalam mana-mana proses pengundian FAM.
Untuk pengetahuan semua, Yusoff menerangkan pindaan membabitkan undian ini adalah mengikut ketetapan daripada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Featured Image: FAM